web 2.0

Monday, November 30, 2009

Satu Analisis yang Adil Tentang Jemaah Tabligh

Harap para ustaz dan ustazah dapat menerangkan sedikit tentang Jemaah Tabligh. Sebagai orang yang tidak mendapat pendidikan agama secara formal kadang-kadang saya rasa keliru dengan aktivitas mereka. Bukan untuk mencari salah atau keburukan tetapi atas dasar kerana saya tidak arif dalam hal agama. Semoga rakan di islah-net dapat membantu.

Assalamualaikum warahmatullah,

Setiap jamaah atau aliran memiliki kelebihan dan kekurangan. Ini adalah lumrah kerana yang menganggotainya ialah manusia yang serba tidak bebas daripada kekurangan.

Hemat saya, kebaikan Jamaah Tabligh (singkatan JT) adalah seperti berikut:

[1] Hidup berjamaah dengan satu ikatan yang amat kuat.

[2] Sanggup mengorbankan masa, tenaga dan uang demi mencapai tujuan
mereka.

[3] Berjaya mendisiplinkan diri menjauhi perdebatan yang tidak bermanfaat dalam hal-hal agama yang diperselisihkan.

[4] Satu-satunya jamaah yang memiliki persiapan fizikal untuk turun ke medan jihad peperangan.

Kekurangannya hanya satu:

[1] Mencukupkan diri dengan satu sumber ilmu sahaja, iaitu kitab Fadhail Amal.

Kekurangan ini bagi saya tidak terbatas kepada JT sahaja kerana mana-mana jamaah atau aliran akan membataskan diri mereka kepada satu silabus sahaja. Jamaah tariqat kepada buku-2 Sufi sahaja, jamaah al-Albaniyun kepada buku-2 al-Albani sahaja, jamaah Ikhwan kepada buku-2 Ikhwan sahaja, Syi’ah dgn buku-2 Syiah sahaja dan demikianlah seterusnya.

Seandainya JT dan juga mana-mana jamaah lain dapat mengubah sikap ini, ia akan membawa manfaat yang besar kepada mereka khususnya dan umat Islam umumnya.

Beberapa fitnah yang biasa dilontarkan kepada JT:

[1] Buku Fadhail Amal (singkatan FA) banyak hadis dhaif dan maudhu’.

Jawab: Tuduhan di atas lazim kedengaran tetapi setakat ini belum saya menjumpai sesiapa yang secara khusus mentakhrij hadis-hadis dlm kitab Fadhail Amal. Tanpa takhrij yang lengkap, bagaimana mereka tahu di dalamnya ada “banyak” hadis dhaif dan maudhu ?

Sekadar kajian saya, Maulana rahimahullah ketika menyusun kitab FA merujuk hadis-hadis kepada 4 sumber berikut:

[a] Kitab hadis yang enam (al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai & Ibn Majah)

[b] Kitab al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Munziri

[c] Kitab Majma’ al-Zawa’id oleh al-Haitsami

[d] Kitab Jami’ al-Shagheir oleh al-Suyuti.

Di dalam kitab FA memang terdapat hadis-hadis dhaif di mana:

[a] Maulana rahimahullah berpegang kepada pendapat jumhur yang membolehkan penggunaan hadis dhaif untuk Fadhail Amal.

[b] Darjat hadis dirujuk beliau kepada apa yang dinilai oleh tokoh-tokoh sepertimana dalam rujukan di atas.

Sikap yang benar di dalam masalah ini ialah memahami manhaj Maulana Zakaria dalam menyusun FA. Jika benar ada “banyak” hadis dhaif, maka itu memang merupakan manhaj beliau sebagaimana manhaj kebanyakan tokoh lain.

Jika benar ada hadis maudhu, maka adakah itu satu kesengajaan oleh Maulana ? Saya pasti tidak pasti.

[2] Buku Fadhail Amal memiliki banyak ajaran kurafat dan bid’ah. Jawab: Sekali lagi, siapakah yang telah mentahqiq kitab FA secara lengkap sehingga dapat dikatakan jumlahnya ialah “banyak” ?

Kedua, kurafat dan bid’ah tersebut – adakah ia sesuatu yang disepakati atau masih ada perbedaan pendapat di dalamnya.

Ketiga, jika ada maka tugas kita ialah membetulkannya dan bukan mengkritik sehingga mengeneralisasikannya kepada seluruh kitab FA.

Keempat, Maulana Zakaria di akhir kitab Fadhail Solat ada menerangkan bahawa sebahagian kisah yang dibawanya itu bersifat “longgar” bertujuan untuk menarik atau menggerunkan hati. Beliau menegaskan ia bukannya hadis. Ini merupakan manhaj yang dipegang oleh sebahagian tokoh terdahulu.

Kelima, kurafat dan bid’ah adalah masalah yang terdapat di dalam pelbagai aliran, maka kenapa dikhususkannya kepada JT sehingga ditutupi segala kebaikan mereka yang lain ?

[3] JT tidak memiliki ilmu dalam berdakwah.

Jawab: Sekali lagi, siapakah yang memiliki ilmu yang mencukupi untuk berdakwah ? Jika ilmu mereka sudah cukup, kritikan sebegini tidak akan keluar daripada mulut mereka. Jika ilmu belum cukup, maka kenapa sibuk kritik orang lain ?

[4] Keluar 3, 40 hari bukan sunnah.

Jawab: Pada zahirnya, membicarakan hukum dengan istilah “wajib, sunat, harus, makruh, haram” bukan juga sunnah. Akan tetapi ianya diformulakan oleh para fuqaha untuk memudahkan pemahaman orang awam kepada kandungan hukum yang terdapat di dalam dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.

Membicarakan fiqh dengan 5 istilah tersebut bukan sunnah akan tetapi ia memudahkan orang awam mengambil dan mentaati sunnah.Demikian juga, membataskan keluar berdakwah kepada sekian-sekian hari bulanlah sunnah. Akan tetapi ia hanya satu metode mendisiplinkan ahli JT dalam berdakwah mengikut sunnah. Jika ada ahli JT yang keluar sentiasa ia lebih baik. Memandangkan masing-masing sibuk dengan tanggung jawab lain, digariskan beberapa jumlah hari tertentu bagi memudahkan perancangan dakwah mereka.

Justru 3 hari, 40 hari bukanlah sunnah akan tetapi ia hanyalah metode yang digunakan bagi mendisiplinkan diri mempraktikkan sunnah untuk berdakwah.

Demikian beberapa poin yang sempat saya ulas saat ini.

Pendek cerita, menjadi kelaziman manusia suka mencari dan membesarkan kekurangan seseorang atau sesuatu kumpulan. Di waktu yang sama mereka mengecilkan apa-apa kelebihan yang ada.

Prinsip yang penting apabila kita mengkaji aliran yang lain ialah berusaha untuk memahaminya dan bukan menjauhinya. Jika kita berusaha memahaminya, kita akan dapat menemui pelbagai kebaikannya. Jika kita berusaha menjauhinya, kita akan dapat menemui pelbagai keburukannya.

Jika ada perbezaan antara manhaj maka hendaklah diselidik, adakah perbezaan tersebut sesuatu yang khilaf atau sepakat. Jika khilaf maka kita bersikap toleran, jika sepakat kita berhikmah untuk membetulkannya. Sebelum melakukan itu semua, kita sendiri perlu ada ilmu untuk menilai antara khilaf dan sepakat.

Jadilah pendakwah, bukan penghukum. Berusahalah membetulkan orang, bukan menyalahkan orang. Ulasan saya di atas tidak khusus kepada JT sahaja tetapi umum kepada sesiapa yang ingin menilai lain-lain jamaah atau aliran seperti Sufism, Salafi, Syi’ah, Hizbi, Ikhwan dan lain-lain lagi.

Sumber: al-firdaus.com

* terasa nak menghuraikan mengenai kekurangan dalam Jemaah Tabligh yang di utarakan oleh penulis :)
InsyaAllah ada kelapangan saya huraikan serba sedikit dengan ilmu yang tak seberapa pengenai perkara ini. Yang pentingnya Jemaah ini sebenarnya tidak menumpukan sepenuhnya terhadap Kitab Fadhail Amal semata-mata cuma di beri penekanan kerana ramai yang terlibat dalam Jemaah Tabligh hanyalah orang-orang awam yang masih baru dan perlu bimbingan yang pakar dalam bidang agama. Maka Kitab Fadhail Amal sebagai “penyubur” semangat mereka untuk terus merasa nikmatnya amalan-amalan yang selama ini mereka tinggalkan.

Wallahu `alam.

Sumber ...

Rasulullah saw Melarang Para Sahabatnya Mengumpat

Dikeluarkan oleh Abu Ya’la dan Thabrani dari Abu Hurairah ra, katanya: Kami berada bersama-sama dengan Rasulullahsaw tiba-tiba seorang lelaki bangun.

Mereka pun berkata, “Wahai Rasulullah! Alangkah lemahnya lelaki itu.” Atau mereka berkata, “Alangkah lembeknya si fulan itu.”

Mendengar pernyataan itu, Rasulullah saw bersabda, “Kamu telah mengumpat saudaramu dan kamu telah memakan dagingnya.”

Dalam lafadz Thabrani dikatakan bahwa seorang lelaki berdiri dari majlis Rasulullah saw, lalu para sahabat yang hadir melihat kea rah lelaki itu yang dalam keadaan lemah sekali. Mereka pun berkata, “Alangkah lemahnya si fulan.”

Rasulullah saw pun bersabda, “Kalian telah mengumpatnya dan memakan daging saudara kalian.” (At Targhib wa At Tarhib)

Dikeluarkan oleh Thabrani dari Mu’az Bin Jabal ra dengan makna riwayat lalu dengan sedikit tambahan: Mereka berkata, “Wahai Rasulullah saw, kami berkata yang benar dengan keadaannya.”

Rasulullah saw bersabda, “Sekiranya kamu telah mengatakan tentang yang tidak benar mengenainya, kamu telah melemparkan tuduhan terhadapnya.”

Dikeluarkan oleh Al Isbahani dengan isnad hasan dari Amru bin Syu’aib dari ayahnya dari kakeknya bahwa mereka telah berbicara mengenai seorang lelaki, “Ia tidak makan kecuali setelah diberi makanan oleh orang lain dan ia tidak akan bergerak ke suatu tempat kecuali setelah ia digerakkan.”

Maka Rasulullah saw bersabda, “Kamu telah mengumpatnya.”

Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah dan Thabrani dari Ibnu Mas’ud ra katanya: Kami berada di samping Rasulullah saw ketika seorang lelaki tiba-tiba berdiri dan seorang lelaki lain mengata-ngatai lelaki itu. Maka Rasulullah saw bersabda kepada lelaki yang mengata-ngatai itu, “Bersihkan dirimu dan bertaubatlah.”

Tetapi lelaki itu berkata, “Untuk apa saya membersihkan diri saya.”

Jawab Rasulullah saw, “Sesungguhnya kamu telah memakan daging saudaramu.” (At Targhib wa At Tarhib).

Kisah Dua Wanita yang Mengerjakan Shaum Lalu Berbuka dengan Mengumpat

Dikeluarkan oleh Abu Daud, Thayalisi dan Ibnu Abu Dunya dalam bab celaan atas perbuatan mengumpat, dan Baihaqi dari Anas bin Malik ra katanya: Rasulullah saw telah memerintahkan kaum muslimin agar mengerjakan shaum suatu hari. Rasulullah saw bersabda, “Janganlah seorang pun dari kalian yang berbuka shaumnya hingga aku mengizinkannya.”

Maka mereka pun shaum. Ketika menjelang petang, seorang lelaki datang menemui Rasulullah saw dan berkata, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya terus menerus mengerjakan shaum, maka izinkanlah saya untuk berbuka.” Maka Rasulullah saw pun mengizinkan lelaki itu membuka shaumnya.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki lain datang dengan permintaan yang sama. Maka Rasulullah saw pun mengizinkannya. Hingga datang seorang lelaki dan berkata kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah! Ada dua orang wanita yang meneruskan shaumnya tetapi mereka malu menemui engkau untuk meminta izin membuka shaumnya.”

Namun Rasulullah saw memalingkan muka dari lelaki itu. Kejadian ini berulang beberapa kali hingga akhirnya Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya mereka berdua tidak shaum hingga petang ini, mereka memakan daging manusia.”

Kemudian Rasulullah saw memerintahkan lelaki itu agar menemui keduanya dan menyuruh mereka memuntahkan isi perut mereka.

Maka lelaki itu kembali kepada kedua wanita itu dan meminta mereka supaya muntah. Kedua wanita itu muntah, maka keluarlah potongan darah beku dari mulut keduanya.

Kemudian lelaki itu kembali menemui Rasulullah saw dan melaporkan kejadiannya. Rasulullah saw bersabda, “Demi Dia yang memegang nyawaku! Jika kedua potongan darah beku itu masih berada di dalam perut mereka, maka api neraka akan memakan mereka berdua.”

Dikeluarkan oleh Ahmad dan Ibnu Abu Dunya dari Baihaqi dari riwayat seorang lelaki dari Abid, hamba milik Rasulullah saw serupa dengan hadits di atas, tetapi dengan perkataan: Maka lelaki itu menyuruh salah seorang wanita itu supaya muntah. Lalu wanita itu memuntahkan apa yang ada dalam perutnya, maka keluarlah darah dan potongan daging hingga memenuhi setengah gelas. Kemudian lelaki itu menyuruh wanita yang seorang lagi supaya muntah, lalu keluarlah darah dan potongan gading hingga memenuhi gelas itu.”

Rasulullah saw bersabda, “Mereka berdua telah menjalankan shaum dari apa yang dihalalkan oleh Allah bagi mereka untuk memakannya, tetapi mereka membuka shaum itu dengan apa yang diharamkan oleh Allah ke atas mereka. Keduanya duduk-duduk dan mulai memakan daging manusia (dengan mengumpat).” (At Targhib wa At Tarhib)



Kisah Abu Bakar dan Umar ra.huma dengan Seorang Lelaki yang Berkhidmat Kepada Mereka

Dikeluarkan oleh Hafidz Adh Dhia Muqaddasi dalam kitabnya Al Mukhtar dari Anas bin Malik ra, katanya: Orang-orang Arab Badwi mempunyai tabiat suka berkhidmat (melayani) satu sama lain ketika di dalam perjalanan. Suatu ketika, seorang lelaki Arab Badwi berkhidmat kepada Abu Bakar dan Umar ra.huma dalam satu perjalanan. Abu Bakar dan Umar tertidur dan setelah jaga dari tidurnya, mereka tidak melihat makanan yang disediakan oleh lelaki itu. Keduanya berkata, “Sesungguhnya lelaki ini ketiduran terlalu lama.” Kemudian mereka membangunkannya dan berkata kepada lelaki itu, “Pergilah menemui Rasulullah saw dan katakan kepadanya bahwa Abu Bakar dan Umar menyampaikan salam kepadanya dan meminta kuah darinya.”

Tetapi Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya mereka berdua telah mempunyai kuah.”

Kemudia Abu Bakar dan Umar pun menemui Rasulullah saw dan berkata, “Wahai Rasulullah, kuah apakah yang telah kami makan?”

Rasulullah bersabda, “Dengan daging saudaramu. Demi DIA yang memegang nyawaku dalam tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat daging disela-sela gigimu.”

Maka keduanya pun meminta Rasulullah saw agar memohonkan ampunan untuk mereka. Tetapi Rasulullah saw memerintahkan agar mereka memohon kepada lelaki itu supaya memintakan ampunan untuk mereka dari Allah SWT.

(Sebagaimana dalam Kitab Ibnu Katsir)

Sumber ...

Membaca Al-Quran Di Kuburan - Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi

Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi adalah antara ulama kenamaan India keluaran Darul Ulum Deoband. Beliau, yang terkenal dengan gelaran Hakimul Ummah dan Mujaddidul Millah, telah dilahirkan di Thana Bhawan, Muzaffarnagar, Uttar Pradesh pada 5 Rabi`ul Akhir 1280H (19 September 1863M). Antara guru-gurunya ialah Mawlana Haji Imdadullah Muhajir Makki, Syaikhul Hind Maulana Mahmud Hasan, Maulana Rasyid Ahmad Gangohi, Maulana Muhammad Qasim Nanotawi dan Maulana Muhammad Ya’qub Nanotawi. Belia juga adalah seorang pembayan di Ijtimak-ijtimak yang diadakan di India, Pakistan dan Bangladesh semasa zaman Maulana Yusof rah. Beliau telah mengarang berbagai-bagai kitab yang digunapakai dan diterjemahkan di dalam berbagai bahasa. Antara kitabnya yang terkenal adalah "Bahisti Zewar". Beliau meninggalkan dunia pada 2 Rejab 1362H ( 4 Julai 1943) dan disemadikan di Thana Bhawan. Moga Allah merahmatinya dan menempatkannya di kalangan para sholihi.

Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi dalam karyanya berjodol “Syauqu Wathan” menulis seperti berikut:-

Diriwayatkan oleh al-Khalaal dalam “al-Jami`” daripada asy-Sya’bi yang berkata: “Adalah orang-orang Anshar apabila mati seseorang daripada mereka, berulang-aliklah mereka ke kubur si mati tadi untuk membaca al-Quran baginya (yakni bagi si mati) - Syarhush Shudur. Maka pandanganku (yakni pandangan Maulana Asyraf):- Kalaulah tidak sampai (pahala bacaan al-Quran tersebut) dalam pandangan mereka, maka kenapakah mereka membacanya (yakni kaum Anshar membaca al-Quran bagi si mati di kuburnya kerana mereka percaya bahawa pahala bacaan tersebut boleh sampai dan bermanfaat kepada si mati, jika mereka tidak berpendapat sedemikian maka kenapakah mereka membacanya). Dan mereka tidak akan beri’tiqad sampainya pahala tersebut tanpa ada dalil, maka sabitlah sampainya pahala bacaan kepada si mati. (Yakni perbuatan kaum Anshar untuk membaca al-Quran di kubur membuktikan wujudnya atau adanya dalil yang menyatakan sampainya pahala bacaan al-Quran kepada si mati).

Hujah di atas adalah diantara alasan yang membolehkan untuk membaca ayat-ayat Al-Quran di kuburan. Pandangan Maulana juga adalah pandangan beberapa Ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Wallahu’alam

Sumber ...

Kitab Rujukan Jemaah Tabligh

Dalam kegiatan Jemaah Dakwah dan Tabligh ada beberapa kitab yang dianjurkan untuk dibaca. Walau bagaimana pun kitab-kitab yang lain juga digalakan untuk membacanya secara persendirian. Teknik atau uslub kerja lebih ditekankan di dalam muzakarah katika keluar. Kitab-kitab tersebut antara lain sebagai berikut

Fahail A’mal oleh Syeikhul Hadis Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rah. Satu jilid dalam Bahasa Urdu dan telah diterjemahkan dala berbagai bahasa termasuk Bahasa Malaysia dan juga Bahasa A’rab.

Fadhail Sadaqah Oleh Syeikhul Hadis Maulana Zakariyya Kandahlawi rah Juga dalam Bahasa Urdu dan telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa termasuk Bahasa Malaysia. Kedua kitab di atas dianjurkan untuk dibaca kepada umum kerana isinya mudah difahami dan kandunganya diperlukan dalam kehidupan sehari-hari oleh semua kalangan ummat.

Fadhail Haji dan Fadhail Salawat oleh Syeikhul hadis Maulana Muhammad Zakariyya Kandahlawi rah Juga dalam Bahasa Urdu dan telah diterjemahkan kedalam Bahasa Malaysia digalakan bibaca untuk umum ketika menjelang musiam Haji. Manakala Fadhail Selawat dibac secara bersenderian.

Riyadhus Solihin oleh Imam Nawawi Ad Dimasqi rah dianjurkan untuk dibaca membaca dan menelaahnya sebanyak dan sekerap yang mungkin. Bagi kalangan rombongan Jemaah dari negera-negara A’rab digunakan dalam pembacaan Ta’lim harian mereka sebagai penganti Fadhail A’mal.

Hayatus Sahabah oleh Maulana Muhammad Yusof Kandahlawi rah dicetak dalam bahasa A’rab sebanyak tiga jilid. Digalakan menelaahnya oleh mereka-mereka yang berkebolehan berbahasa A’rab. Ianya dibaca diseluroh Markas-markas di seluroh dunia ketika malam perhimpunan selepas Solat Insya. Jilid pertama telah selesai diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Miskatul Masabbih oleh Imam Khatib At Tibrizi rah. Sebagai bacaan tambahan dan rujukan.

At Tarhib Wa Targhib oleh Imam Hafiz Al Munziri rah sebagai bacaan tambahan dan rujukan.

Al Abwabul Muntakhabah min Miskatil Masabbih oleh Maulana Muhammad Ilyas Al Kandahlawi rah. Sebagai bacaan tambahan dan rujukan.

Al Ahadissul Muntakhabah oleh Maulana Yusof Al Kandahlawi rah juga sebagai bacaan tambahan dan rujukan semasa.

Al Adaabul Mufrad oleh Imam Al Bukhori rah. Sebagai rujukan adab-adab.

(Petikan dari kitab Meluruskan Kesalahfahaman Terhadap Jemaah Tabligh muka surat : 22- 23, Karangan Mulwi Ahmad Harun Al Rasyid , Temboro,Magetan Indonesia dengan sedikit pindaan untuk kesesuaian dalam Bahasa Malaysia)

Sumber ...
Blog Widget by LinkWithin